Monday, August 27, 2007

Hari Guru kian menjelang...

Warkah buat guruku yang tersayang...

Sudah lama aku tidak melihat wajah guruku. Dia meninggalkan sekolahku semasa aku Menengah 4. Dia mengajarku untuk setahun sahaja. Mungkin untuk murid-murid yang lain, setahun itu lama. Namun bagiku, setahun itu sekejap sahaja. Kadang-kala, aku bertanya dengan diriku sendiri. Mengapa jika aku sesuai dengan seseorang itu, aku dapat bersamanya didalam jangka masa yang singkat sahaja? Pilu hati ini teringat akan saat-saat akhir, saat kami harus melambai tangan dan mengucapkan selamat tinggal. Airmataku berlinangan tanpa henti dan aku menangis tersedu-sedu sebaik sahaja kami sudah jauh beberapa tapak. Guruku, sudah tentu tidak dapat melihat air mataku. Cuma, aku teringat apabila kami keluar bilik darjah, menuju tangga untuk turun, dia bertanya aku jikalau aku baik-baik sahaja. Waktu itu, terimbas saat-saat kami mula berkenalan. Mengapa masa harus berlalu dengan begitu cepat?

Guruku telah banyak mengajarku. Tanpa dia sedar atau tidak, dia telah mengajarku ilmu yang ibu bapaku tidak dapat mengajarku. Ilmu pengetuaan dan berkerjasama. Ilmu ini amat berharga dan sangat diperlukan untuk masa depanku. Tidak semua orang boleh mengetuai suatu kumpulan dan dapatkan kerjasama dari semua ahli-kumpulannya. Dari sini, seseorang itu haruslah merendahkan diri dan mempunyai sifat 'sikit lebih kurang'. Dahulu, sebelum Guruku mengajarku, aku akui, aku adalah seorang yang angkuh. Apabila aku dilantik menjadi ketua untuk sesebuah projek, aku akan memerintah sahaja. Murid-murid lelaki didalam kumpulanku mula merasa tidak puas hati. Guruku pula diam dan melihat karenah kami. Bergaduh, meninggikan suara, berteriak dan sebagainya. Tidak lama kemudian, baru aku sedar akan mengapa guruku memilih aku sebagai ketua. Dia dapat melihat kekuatan yang ada pada diriku. Dia ingin mengasuhku agar aku dapat menjadi yang lebih baik. Dengan tunjuk ajar yang diberikan, aku kini berazam untuk melakukan tugasku dengan tahap yang lebih baik. Dia juga percaya akan aku. Itu dia beritahu kepada Ibuku. Apabila aku dapat merasa bahawa dia kecewa dengan ku, aku tahu dan aku terus berusaha supaya dia tidak hilang kepercayaan terhadapku. Hingga kini, aku tahu, kepercayaannya tidak akan pudar dan aku akan kekalkan itu. Aku akan berusaha supaya dia tidak akan melupakanku, kerana aku tidak bisa melupakannya.

Guru yang ku maksudkan itu ialah
Cikgu Marini Bte Hassan.
Selamat Hari Guru...

No comments: